KOTA BHARU, KELANTAN, 27 Julai 2017 - Hazard adalah punca atau keadaan yang berpotensi membawa mudarat kepada keselamatan dan kesihatan manusia. Tanpa disedari pelbagai aktiviti harian boleh menjadi penyumbang kepada risiko hazard.
Antara contoh hazard ialah racun rumpai yang disimpan tanpa ditutup, wayar elektik yang tidak sempurna sifatnya, bunyi bising peralatan 'driling', sinaran terik panas matahari, saluran gas memasak yang bocor, peralatan mainan kanak-kanak yang tajam atau tidak disimpan dengan baik serta pelbagai lagi.
Menurut Pensyarah Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Siti Marwanis Anua, amat penting untuk kita mengenalpasti hazard dalam aktiviti seharian yang berpotensi mendatangkan risiko kemudaratan seterusnya mengambil tindakan sewajarnya dalam mencegah atau menghapuskan hazard selain pematuhan terhadap semua langkah keselamatan dan panduan.
"Hazard sebenarnya boleh diatasi atau dihindari sekiranya kita lebih berhati-hati dan berhemah dalam memastikan setiap perkara tersebut diteliti, diperiksa dan diuruskan dengan sebaik mungkin," katanya ketika menjadi tetamu Program Doktor Di Radio, di sini.
Marwanis berkata, banyak saranan pencegahan yang kita boleh peroleh melalui laman sesawang seperti pada pautan myhealth.gov.my oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengeluarkan panduan seperti 'Hazard Identification, Risk Assessment & Risk Control (HIRARC)'.
"Walaupun ia menjurus kepada keselamatan di tempat kerja, namun ia boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
"Isu keselamatan sentiasa dititikberatkan di tempat kerja sebagaimana Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ada menyatakan setiap majikan harus menjaga keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja dan konsep yang sama ini perlu diterapkan dalam kehidupan seharian di rumah," ujarnya lagi.
Menurut Marwanis, ibubapa berperanan memastikan keselamatan diri sendiri dan isi rumahnya terutama anak-anak kerana mereka belum mengerti apa itu risiko hazard dan bahaya.
"Sekiranya kemalangan yang berlaku pada kita akibat kecuaian sendiri, mungkin boleh diterima namun ia akan meninggalkan kesan yang mendalam sekiranya disebabkan kecuaian atau sikap ambil mudah kita yang akan menyebabkan kemalangan, kecederaan atau kesan kesihatan kepada orang di sekeliling atau anak-anak kecil," katanya.
Teks: Mohd Hafiz Yaacob / Foto: Mohd Sabri Saleh