KOTA BHARU, KELANTAN, 30 November 2017 – Kanser payudara merupakan kanser yang tertinggi dihidapi oleh wanita bukan sahaja di Malaysia malahan di dunia. Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) menerima hampir 50 kes sebulan yang dirujuk daripada Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) serta hospital daerah berdekatan.
Menurut Pegawai Perubatan, Perubatan Nuklear, Radioterapi dan Onkologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), USM, Dr Wan Mohd Nazri Wan Zainon, pada zaman dahulu kita selalu mendengar kanser payudara dihidapi oleh wanita berumur 50 tahun ke atas. Namun pada masa kini golongan wanita yang menghadapi kanser payudara berumur seawal 20 tahun.
“Ada dua genetik yang mengawal sel-sel tersebut iaitu ‘Oncogene dan Tumor Suppressor Genes (TSG)’ dan sekiranya sel yang dikawal oleh genetik tersebut mengalami ketidakseimbangan, ia akan menyebabkan pembentukan sel kanser.
“Sel kanser adalah sel yang tidak mengikut arahan sistem badan. Sel ini juga sentiasa berkembang, membiak dan cuba mempengaruhi sel-sel normal bersebelahan untuk bertukar menjadi kanser serta cuba merebak melalui salur limfa dan salur darah,“ katanya ketika ditemubual dalam rancangan Doktor Di Radio.
Tambah Nazri, orang ramai dinasihatkan segera berjumpa doktor apabila mengalami tanda-tanda seperti terdapat ketulan pada payudara yang sebelum ini tiada, keluar cecair atau darah dari puting, puting bertukar warna serta kulit berkedut seakan parut.
“Rawatan awal bagi penghidap kanser payudara sangat penting bagi membantu merawat sehingga sembuh dan kaum wanita yang berumur 40 tahun ke atas disarankan untuk membuat ujian saringan mammogram dua tahun sekali bagi yang tidak berisiko atau setahun sekali bagi yang berisiko.
“Wanita yang dikesan menghidap kanser payudara diberi rawatan selepas dibuat penilaian lengkap oleh doktor. Sebahagian pesakit akan dibedah sebelum diberi rawatan kemoterapi (adjuvant chemotherapy) dan sekiranya pakar bedah memutuskan untuk mengecilkan saiz kanser sebelum pembedahan, rawatan kemoterapi atau radioterapi akan diberi terlebih dahulu,” ujarnya lagi.
Nazri berkata, kanser payudara dapat dicegah dengan mengamalkan gaya hidup sihat, membuat pengesanan awal dan rawatan awal bagi menyelamatkan nyawa.
Teks / Foto : Wan Salizawati Wan Ismail