KOTA BHARU, KELANTAN , 18 Januari 2018 - Mata adalah organ deria yang membolehkan manusia melihat dan menikmati keindahan alam. Kebolehan untuk melihat pula merupakan suatu proses yang agak kompleks terdiri daripada beberapa peringkat dalam proses penglihatan bermula daripada rangsangan fizikal yang sampai ke mata hinggalah keakhir imej yang dilihat untuk diterjemahkan oleh otak.
Menurut Penyarah Perubatan Jabatan Oftalmologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Everlyn Tai, masalah utama penglihatan ialah masalah ketarak yang tidak dibedah dan masalah ini biasanya berlaku kepada mereka yang berumur diantara 50 tahun keatas.
"Selain peningkatan usia, punca utama katarak adalah penyakit diabetes yang membantu mempercepatkan pembentukan katarak kerana pembentukan katarak berlaku secara perlahan-lahan mengikut usia yang semakin meningkat dan mengambil masa antara lima hingga 10 tahun.
"Katarak adalah keadaan kabur pada bahagian lensa mata yang berfungsi merakam imej setiap objek yang di lihat dan bagi mereka yang mempunyai katarak, ia seakan-akan melihat objek yang menggunakan kaca mata berkabus atau menerusi kaca mata yang kotor serta silau di bawah cahaya yang terang," katanya semasa menjadi tetamu di sebuah stesyen radio tempatan, di sini.
Everlyn berkata, satu-satunya kaedah rawatan efektif adalah pesakit perlu menjalani pembedahan membuang katarak dan digantikan dengan lensa tiruan yang diperbuat daripada silikon akrilik dan plastik.
"Terdapat dua jenis pembedahan katarak iaitu ‘phacoemulsification’ yang membabitkan pemotongan kecil pada sisi kornea sebelum doktor memasukkan alat pembedahan kecil ke dalam mata yang akan memancarkan gelombang ultra bunyi yang akan melembut dan memecahkan lensa diselaputi katarak supaya ia boleh dikeluarkan dengan cara disedut sebelum lensa tiruan dimasukkan.
"Satu lagi pembedahan katarak ialah ‘extracapsular’ yang membabitkan pemotongan lebih besar pada sisi kornea untuk menarik keluar lensa yang diselaputi katarak," ujarnya lagi.
Jelas Everlyn, kedua-dua pembedahan ini hanya berbeza dari segi teknik tetapi peratusan kejayaan untuk mengembalikan penglihatan yang baik adalah 95 peratus.
Everlyn turut menasihati masyarakat supaya membuat pemeriksaan kesihatan sama ada di klinik kesihatan kerajaan atau swasta sekurang-kurangnya setiap dua tahun sekali dan perlu mengikut beberapa langkah untuk menjaga kesihatan mata bagi melambatkan pembentukan katarak iaitu dengan menjalani gaya hidup sihat, mengawal masalah diabetes dan mengelakkan diri dari terdedah kepada cahaya ultra ungu (UV) dalam tempoh yang panjang.
"Masyarakat juga digalakkan melakukan pemeriksaan awal untuk mengesan retinopati diabetik dan katarak kerana ia adalah langkah penting bagi membantu meningkatkan peluang daripada mendapat masalah hilang penglihatan dan kebutaan," katanya lagi.
Teks/Foto: Anawiah Abdul Aziz