USM KUBANG KERIAN, 15 Mac 2018 – Sebelum era perubatan moden, kebanyakan tulang yang patah dirawat dengan menggunakan kaedah konservatif atau secara tradisional. Hasilnya, tulang tidak dapat sembuh sepenuhnya dan berakhir dengan tulang yang sembuh dalam keadaan bengkok atau anggota yang pendek daripada normal.
Pensyarah dan Pakar Bedah Ortopedik, Jabatan Ortopedik, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Hadizie Din berkata, berdasarkan pemerhatian, ramai dalam kalangan masyarakat kita berjalan dalam keadaan tidak normal akibat ‘Limb Deformity’ iaitu bentuk tulang tidak sempurna contohnya kaki pendek sebelah (shortening) disebabkan tulang yang patah sembuh dalam keadaan tidak betul atau dalam istilah perubatan disebut ‘malunion’.
"Kini, masyarakat tidak perlu bimbang lagi kerana dengan perkembangan teknologi rawatan, terdapat beberapa kaedah untuk membetulkan semula tulang yang bengkok dan memanjangkan semula tulang yang pendek.
"Punca keabnormalan tulang boleh berlaku akibat kemalangan yang mengakibatkan kepatahan tulang, jangkitan kuman pada tulang, perubahan usia, ketumbuhan pada tulang serta boleh terjadi juga kepada bayi baru lahir dipanggil kaki kewek oleh masyarakat setempat dan semua ini boleh dirawat jika mendapat rawatan awal tetapi boleh menjadi cacat jika tidak dirawat,” katanya semasa ditemubual di konti radio Kelantan FM.
Tambah Mohd Hadizie, ‘Limb Deformity’ tidak mempunyai kesan jangka pendek tetapi untuk jangka masa panjang jika tidak dirawat ianya akan meningkalkan kesan kepada tulang belakang, sendi-sendi tulang akibat berat badan yang tidak seimbang, bentuk tubuh yang tidak sempurna serta boleh mengundang perasaan malu untuk bergaul dengan masyarakat.
“Pelbagai kaedah rawatan dapat dilakukan untuk merawat tulang pendek dan tulang yang bengkok antaranya menggunakan teknik ‘Ilizarov’ atau ‘Hexapod’ dan rawatan tersebut bukan sahaja membetulkan tulang tetapi juga melibatkan bahagian kulit, saraf, otot dan salur darah malah memerlukan perhatian yang teliti bagi kawasan tulang yang dijangkiti kuman dan perlu dibuang.
"Dalam Hal ini, teknik “Ilizarov’ akan digunakan iaitu menggunakan gelung-gelung besi yang dipakaikan pada tulang dan pesakit perlu komited kerana pesakit akan melaras sendiri ‘Square nut’ mengikut arahan doktor pakar,” jelasnya lagi.
Mohd Hadizie turut menasihatkan orang ramai yang mengalami masalah tulang untuk terus ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut walaupun ada yang mengalami penyakit ini sejak lahir atau belum pernah mendapatkan apa-apa rawatan sebelum ini.
Teks & Foto : Muhd Zulkifli Zakaria