KOTA BHARU, 21 Mei 2017 – Setiap kali menghampiri bulan Ramadhan, hati setiap ibu yang menyusukan anak pasti akan merasa bimbang apabila memikirkan bagaimana mereka ingin menyusukan si kecil sedangkan terikat dengan ibadah puasa.
Menurut Pensyarah Kanan Unit Perkembangan Kesihatan Wanita, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Zaharah Sulaiman, ibu yang menyusu boleh berpuasa tanpa menjejaskan kualiti dan kuantiti susu yang dihasilkan.
“Isipadu susu yang dihasilkan tidak bergantung sepenuhnya kepada berapa banyak air yang ibu minum di siang hari tetapi bergantung kepada berapa kerap payudara dikosongkan sama ada dengan cara hisapan bayi atau mengepam.
“Berpuasa selama 12 hingga 14 jam sehari tidak memberi kesan langsung kepada kualiti atau jumlah susu badan ibu melainkan jika si ibu mengalami malnutrisi atau ketidakseimbangan makanan yang jarang berlaku di Malaysia,” jelasnya dalam satu sesi temubual bersama radio tempatan, di sini.
Tambah Zaharah, hal ini adalah sejajar jika dikaitkan dengan pemakanan ibu semasa bulan Ramadhan kerana nutrien susu adalah bergantung kepada pemakanan ibu.
“Seandainya pemakanan sihat dan sempurna yang diamalkan, ia tidak akan mengundang masalah terhadap komposisi susu tersebut tetapi jika terdapat kekurangan dalam pengambilan makanan, kemungkinan komposisi tersebut akan berubah.
“Bagi memastikan susu sentiasa mencukupi, ibu hendaklah yakin bahawa penghasilan susu tidak akan terjejas walaupun berpuasa kerana keyakinan turut mempengaruhi emosi dan minda si ibu,” ujarnya lagi.
Zaharah berkata, emosi dan minda yang positif akan merangsang hormon oksitosin dan seterusnya memastikan penghasilan susu yang berterusan.
“Ibu hendaklah memastikan kandungan nutrien yang seimbang dijaga sepanjang bulan Ramadhan dan pengambilan air yang mencukupi juga merupakan sebahagian daripada nutrien yang seimbang kerana tubuh manusia mengandungi 70 peratus air, maka ibu hendaklah minum air sekurang-kurangnya tiga liter sehari.
"Tidak perlu risau masalah kekurangan air semasa berpuasa melainkan anda melakukan aktiviti menyebabkan anda kehilangan air yang banyak," katanya.
Zaharah turut memberi galakan kepada para ibu sekiranya mereka mempunyai keyakinan diri dan keazaman yang tinggi untuk menyusu badan, mereka pastinya dapat memberikan khasiat yang secukupnya kepada bayi mereka.
Teks/Foto : Wan Salizawati Wan Ismail