KOTA BHARU, KELANTAN, 5 Julai 2018 – Kanser paru-paru merupakan salah satu daripada kanser yang digeruni kerana kebiasaannya kanser ini dikesan apabila telah menjangkau tahap bahaya (tahap empat) dan telah merebak ke organ lain. Justeru, tanda amaran awal kanser paru-paru perlu diketahui supaya rawatan terkini boleh diambil untuk pencegahan.
Pensyarah Jabatan Perubatan Nuklear, Radioterapi dan Onkologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Wan Mohd Nazri Wan Zainon berkata, sesuatu sel itu boleh menjadi sel kanser apabila terdapat satu sel mula rosak, tetapi tetap membahagi hingga mewujudkan keadaan mutasi pada DNA sel tersebut.
"Apabila sel rosak, DNA tidak dapat lagi disalin dalam urutan yang sama, tetapi telah berbeza susunannya dan perbezaan ini dipanggil sel mutasi.
“Paru-paru adalah organ yang mudah terdedah kepada persekitaran tidak sihat seperti asap rokok yang merupakan penyumbang utama kepada terjadinya kanser paru-paru dan antara simptom awal kanser paru-paru adalah batuk berterusan, hilang selera makan serta badan terasa terlalu letih dan lemah", katanya ketika ditemuramah dalam Rancangan Doktor Di Radio.
Mohd Nazri berkata, sekiranya orang ramai mempunyai simptom-simptom seperti yang dinyatakan, mereka dinasihatkan untuk terus berjumpa doktor.
"Selain itu, cara terbaik untuk mengesan kanser ini adalah dengan melakukan 'Bronkoskopi'. Bronkoskopi adalah satu prosedur yang membolehkan doktor melihat bahagian dalam saluran pernafasan dan sekiranya terdapat sesuatu bonggol, ia akan dibiopsi untuk mengenalpasti jenis sel kanser paru-paru tersebut.
“Rawatan yang akan dijalankan bergantung kepada jenis kanser, tahap dan keadaan fizikal serta fungsi pernafasan seseorang dan antara rawatan yang biasa diambil ialah pembedahan bagi kanser peringkat awal, kimoterapi dan radioterapi", ujarnya lagi.
Tambah Mohd Nazri, terdapat juga rawatan terkini melalui penemuaan ubatan baharu, namun untuk rawatan tersebut memerlukan kos yang agak tinggi.
"Kanser paru-paru ini dapat dicegah awal dengan menghindari persekitaran udara yang tidak bersih seperti bahan kimia, asap, habuk dan yang paling utama adalah asap rokok.
"Hal ini kerana bukan sahaja perokok aktif yang berisiko untuk menghidap kanser ini, malah perokok pasif iaitu individu yang tidak merokok tetapi terdedah dengan asap rokok turut berisiko untuk menghidapnya", jelasnya.
Mohd Nazri turut menasihatkan individu yang disahkan menghidapi kanser paru-paru agar berbincang dengan doktor pakar di hospital sebelum mengambil sebarang keputusan kerana mereka lebih berpengalaman dan berpengetahuan untuk membantu pesakit.
Teks: Noor Farihah Abd Hashim (Pelajar Praktikal UniMAP)/ Suntingan: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Anawiah Abdul Aziz