KOTA BHARU, KELANTAN, 27 September 2018 - Kanser payudara merupakan barah yang paling tinggi insidennya dalam kalangan wanita. Permasalahan ini diburukkan lagi dengan kelewatan mendapatkan rawatan awal berikutan stigma rasa malu dan takut kehilangan payudara selepas pembedahan.
Ditambah lagi dengan tahap kesedaran yang rendah dalam kalangan pesakit mahupun doktor yang merawat terhadap kemungkinan pembinaan semula payudara selepas pembedahan boleh dilaksanakan.
Menurut Pensyarah dan Penyelaras Unit Sains Rekonstruktif, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Wan Azman Wan Sulaiman, kaum wanita perlu mengetepikan rasa malu dan takut kehilangan payudara akibat pembedahan ekoran terdapat rawatan membina semula payudara iaitu rawatan pembedahan rekonstruktif pada masa kini.
"Rawatan pembedahan rekonstruktif adalah rawatan menggantikan payudara yang dibuang akibat barah dan dibina semula menggunakan tisu badan yang diambil daripada bahagian bawah perut.
"Pembedahan kosmetik pula adalah pembedahan yang tidak melibatkan pesakit kanser payudara tetapi hanya untuk kelihatan lebih menarik dan cantik," katanya semasa ditemubual dalam rancangan Doktor Di Radio Kelantan FM, di sini.
Wan Azman berkata, pembedahan rekonstruktif tidak melibatkan benda asing kerana ia hanya melibatkan tisu tubuh manusia memandangkan setiap struktur tubuh mempunyai bekalan darah dan saraf tertentu yang boleh diasingkan kemudian dipindah sambungkan ke mana-mana salur darah pada bahagian tubuh yang lain.
"Kita boleh memindahkan lemak yang disedut daripada bahagian tubuh yang lain dan menyuntik ke bahagian payudara bagi membinanya semula namun, kesannya tidak secantik berbanding dengan penggunaan implan seperti pembedahan kosmetik.
"Rawatan kosmetik juga boleh dibuat ke atas pesakit yang mempunyai masalah sakit tulang belakang akibat payudara yang besar, sukar mencari pakaian yang sesuai dan saiz payudara yang kecil," ujarnya lagi.
Wan Azman turut menegaskan tujuan utama topik ini diutarakan adalah untuk memberi kesedaran kepada penghidap kanser payudara supaya mendapatkan rawatan awal, tidak runsing untuk kehilangan benda yang berpenyakit kerana dengan rawatan teknologi terkini, payudara boleh dibina semula.
Teks & Foto: Mohd Hafiz Ya'acob