KOTA BHARU, KELANTAN, 25 April 2017 - Terdapat lebih daripada lima juta penduduk di Malaysia dipercayai mengalami masalah pendengaran. Tanda-tanda awal masalah pendengaran termasuklah kesukaran memahami pihak lain apabila berbual atau sering menguatkan bunyi televisyen.
Selain daripada itu, dalam situasi di mana bunyi latar belakang terlalu kuat contohnya apabila berada di restoran, perbualan menjadi cabaran untuk individu yang mengalami masalah pendengaran mendengar dengan jelas.
Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Wan Najibah Wan Mohamad, semua masalah tersebut boleh dirawat dengan bantuan ‘Alat Bantu Pendengaran’(ABP) yang moden kerana ia bukan sahaja lebih kecil malah lebih berkesan.
“Alatan berteknologi tinggi ini mampu membantu menambah baik pendengaran dan mengurangkan bunyi latar belakang yang bising, pengguna boleh menjalani kehidupan seharian dengan lebih mudah.
“ABP juga merupakan alat elektronik yang berfungsi menguatkan bunyi bagi membantu pendengaran dan alat ini dipakai oleh kanak-kanak serta orang dewasa selepas dikesan mempunyai masalah pendengaran oleh doktor yang merawatnya”, katanya ketika ditemubual dalam sebuah rancangan radio tempatan, di sini.
Wan Najibah berkata, bagi kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran, ABP perlu dipakai seawal mungkin untuk membantu perkembangan bahasa manakala bagi orang dewasa pula, ia bergantung kepada tahap pendengaran seseorang itu kerana ABP juga mengalami revolusi.
“ABP versi terkini atau digital mempunyai pelbagai ciri untuk memastikan komunikasi lebih berkesan dan selesa dipakai serta dijual dengan harga yang berpatutan.
“Alat ini boleh didapati di hospital atau di kedai ABP yang mempunyai audiologis atau profesional yang bertauliah”, ujarnya lagi.
Teks/Foto : Mohd Ridzuwan Ramly