Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

DEKATI, FAHAMI DAN SELUSURI ISU PENTADBIRAN SECARA SANTAI

KOTA BHARU, KELANTAN, 16 November 2021 – Jabatan Pendaftar, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) memecah tradisi apabila buat julung kalinya mengadakan sesi perkongsian isu-isu pentadbiran bersama Pegawai Tadbir Universiti (PTU) mewakili pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) secara santai menerusi program Sembang Akok dan Air Kotok, hari ini.

SAVE 20211116 210855

Menurut Timbalan Pendaftar, Jabatan Pendaftar, Kampus Kesihatan USM, Noor Hayati Mohammad, Jabatan Pendaftar cuba mencetuskan pendekatan baharu berbanding kaedah mesyuarat konvensional.

“Kita berjumpa hari ini dalam suasana santai, boleh duduk bersila dan menikmati akok, kuih tradisional tradisi Kelantan serta air kotak sambil berbincang.

"Intipati perjumpaan berkisar kepada penyelarasan isu-isu pentadbiran termasuk sumber manusia, pengurusan akademik dan pentadbiran am antara PTU Jabatan Pendaftar dengan PTU di PTJ," ujarnya.

SAVE 20211116 210917

Noor Hayati berkata, PTU sebagai wakil Pendaftar di PTJ diberi tanggungjawab untuk membantu dan menasihati Dekan, Pengarah atau Ketua PTJ berkaitan polisi, dasar serta proses kerja berkait pentadbiran.

"Sebagai perantara antara pengurusan atasan yang membuat keputusan serta staf sokongan pelaksana, PTU perlu fokus, cekap dan cermat dalam segala gerak kerja," jelasnya lagi.

SAVE 20211116 210903

Noor Hayati turut menggesa PTU supaya sentiasa peka dengan perubahan-perubahan landskap terkini arena pentadbiran termasuk kesan daripada pandemik COVID-19.

“Sebagai pentadbir, pastikan anda adalah orang yang mula-mula sekali faham apa-apa perubahan kerana anda yang akan memastikan pengurusan serta warga PTJ tidak ketinggalan.

SAVE 20211116 210926

"Sehubungan itu, selain cakna dengan sebarang pengumuman oleh pihak Kerajaan mahupun pengurusan Universiti, sesi perkongsian sebegini boleh dimanfaatkan untuk saling berkongsi pengalaman masing-masing sebagai panduan kepada kumpulan besar PTU di Kampus Kesihatan," tambah beliau.

Mengambil kesempatan perjumpaan hari ini, Noor Hayati turut memaklumkan hasrat Universiti untuk melaksanakan penempatan semula beberapa PTU sebagai antara usaha bagi memantapkan ilmu, pengetahuan serta pengalaman demi kemajuan kerjaya masing-masing.

SAVE 20211116 210833

Menurutnya, PTU yang tersenarai dalam eksesais penyusunan semula penempatan kelak tidak perlu merasa diketepikan, sebaliknya perlu berjiwa besar dan menerima sebarang keputusan dengan hati terbuka kerana ianya diputuskan untuk kebaikan semua pihak.

Noor Hayati turut berharap agar sesi perjumpaan seperti itu dapat diteruskan dari semasa ke semasa kerana ia mampu mengukuhkan pasukan PTU di Kampus Kesihatan dari segi sokongan moral dan  perkongsian pengalaman sesama pegawai.

Teks & Foto: Amyrulhan Azhari

  • Created on .
  • Hits: 57