HAYATI DAN HIDUPKAN KEMBALI PERJALANAN APEX – USM: NC
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 26 Februari 2024 - “Sebagai sebuah universiti APEX, perjuangan kita perlu berpaksi kepada visi dan misi yang telah kita gariskan iaitu ‘Mentransformasikan Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok’ dan ‘USM Merupakan Universiti Perintis Intensif Penyelidikan Rentas Bidang yang Memperkasakan Bakat Masa Hadapan dan Mengupayakan Golongan Terkebawah’,” demikian seruan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed semasa menyampaikan perutusan hari ini.
Menurutnya, visi dan misi tersebut menekankan komitmen dan tekad USM dalam memimpin dan mencipta inovasi menuju kecemerlangan dengan memajukan dan menyebarkan ilmu, membina sifat-sifat yang menekankan keunggulan akademik dan profesional, mengembangkan bakat secara holistik, memperkasa masyarakat dan memelihara kelestarian ekonomi, sosial dan alam sekitar.
“Inilah ‘True North’ kita sebagai warga USM.
“Dalam kita menghayati kembali perjalanan APEX-USM, saya ingin mengingatkan semua tentang lima (5) budaya APEX iaitu pemikiran inovatif, pendekatan lautan biru, berasaskan kelestarian, mengutamakan kumpulan terkebawah (bottom billions) dan menghasilkan impak,” ujarnya lagi.
Tambah Abdul Rahman, lima (5) budaya APEX inilah ‘deoxyribonucleic acid’ (DNA) sebenar setiap warga USM dan ini yang akan membezakan USM dengan institusi pendidikan tinggi lain.
“Setiap warga yang terlibat dalam penyelidikan, pengajaran dan pentadbiran perlu menjadi inovatif dan sentiasa mencari peluang baharu untuk penyelesaian masalah yang berkesan.
“Sebagai universiti berasaskan kelestarian, semua perkara yang dijalankan perlu berteraskan kelestarian serta mensasarkan kumpulan terkebawah dan akhir sekali apa yang kita buat perlu menghasilkan impak,” jelasnya.
Abdul Rahman berkata, tanggal 4 September 2008, USM telah diisytiharkan sebagai Universiti APEX (The Accelerated Programme for Excellence) atau program pemacuan untuk kecemerlangan yang pertama di Malaysia dan pengisytiharan ini merupakan pemangkin kepada USM untuk melonjakkan kecemerlangan bertaraf dunia selari dengan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Negara.
“Tahun 2008 inilah bermulanya perjalanan USM APEX Fasa I dalam penetapan asas dan pembangunan kecemerlangan. Fasa ini melibatkan perubahan atau transformasi menyeluruh melibatkan pelajar dan staf.
“APEX Fasa I ini telah mengubah landskap USM menjadi sebuah universiti yang cemerlang dalam pelbagai hal berkaitan penyelidikan, penerbitan, pelajar dan program yang melibatkan global kumpulan terkebawah,” ulasnya lanjut.
Beliau turut menjelaskan bahawa kini USM berada di fasa II yang melibatkan pemacuan kecemerlangan.
“Di peringkat awal APEX Fasa II pada tahun 2015, USM telah mewujudkan tujuh tonggak utama merangkumi Penyelidikan APEX dan Inovasi, Kepimpinan APEX dan Program Pembangunan Negara, Perkongsian APEX serta Pengembangan APEX dan Posisi yang sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Negara iaitu Kecemerlangan Bakat Pendidikan Tinggi, Penyampaian Pendidikan Tinggi yang Ditransformasi dan Graduan Holistik, Keusahawanan dan Seimbang.
“Selepas 15 tahun menerima pengiktirafan APEX, apakah pencapaian USM dan ke manakah arah kita seterusnya? Pada tahun 2023, kita telah membentuk Jawatankuasa Pemandu APEX yang telah diamanahkan untuk meneliti semula agenda APEX USM dan merangka perancangan yang bersesuaian untuk universiti,” katanya lagi.
Selain itu, dalam Perutusan Naib Canselor 2024 yang bertemakan ‘Mempimpin Kecemerlangan APEX’, Abdul Rahman turut mengimbas pencapaian USM sepanjang tahun 2023 dan menekankan aspek kesejahteraan staf, hala tuju USM serta inisiatif utama APEX 2024.
Hampir 1,000 warga Kampus Kesihatan memenuhi dewan untuk mendengar perutusan yang turut dihadiri Ahli Lembaga Gabenor Universiti, USM, Profesor Dato' Dr. Aldrin Abdullah; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni), USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail; Pengarah Hospital USM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman serta pegawai-pegawai utama universiti.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 395