Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

USM, PDRM PERHALUSI ILMU SAINS FORENSIK SEBAGAI PERSEDIAAN CABARAN PENYIASATAN MASA HADAPAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 Mei 2024 – Sains Forensik merupakan satu bidang yang tidak asing lagi apabila seringkali dikaitkan dengan penyelesaian kes jenayah.

Menyedari hakikat tersebut, Program Sains Forensik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif melebarkan sayap kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan melalui penganjuran Program Perkongsian Ilmu (PPI) Sains Forensik USM Bersama PDRM Kontinjen Kelantan, hari ini.

IMG 20240515 WA0026

Hubungan akrab antara PPSK terutamanya Program Sains Forensik dengan PDRM telah lama terjalin iaitu sejak Oktober 2001 menerusi Bengkel Penyelarasan Program Sains Forensik, disusuli dengan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Program Praktikum Forensik pada Julai 2003 selain turut menerima para pegawai polis bagi melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah pada setiap tahun secara aktif.

IMG 20240515 WA0028

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail dalam ucapannya berkata, PPI ini diadakan bertujuan untuk memenuhi keperluan Matlamat Pembangunan Mampan atau ‘Sustainable Development Goals’- SDG 17 yang merujuk kepada pengukuhan cara pelaksanaan dan menghidupkan semula kerjasama global demi pembangunan mampan.

“Antara sasaran SDG 17 Malaysia yang berkaitan dengan cadangan sesi ini adalah melibatkan galakan kerjasama yang berkesan melalui perkongsian pengetahuan dan kerjasama.

“Diharapkan melalui kerjasama ini, akses kepada sains, teknologi serta inovasi dapat direalisasikan,” katanya.

IMG 20240515 WA0027

Tambah Shaiful, berdasarkan petikan daripada buku 20 Tahun Forensik Sains di USM menyatakan cabaran yang dihadapi oleh polis dan sistem kehakiman dalam menyelesaikan masalah jenayah perlu ditangani dengan pendekatan dan tafsiran berasaskan saintifik yang akan menjadikan penyelesaian kes jenayah lebih tersusun dan memastikan keadilan ditegakkan.

IMG 20240515 WA0031

“Sebagai sebuah institusi akademik, adalah menjadi kewajipan USM untuk menawarkan program yang menarik dan dinamik bagi mempersiapkan generasi pengamal forensik yang berilmu dan berkemahiran yang akan menyumbang kepada cabaran penyiasatan forensik pada masa hadapan.

IMG 20240515 WA0029

“Kerjasama yang terjalin dengan PDRM ini telah menepati agenda 2030 untuk SDG yang diguna pakai oleh semua anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation) sejak tahun 2015,” ujarnya lagi.

Shaiful turut berharap agar kerjasama yang terjalin ini memberi manfaat kepada kedua-dua pihak selain menjadi platform perkongsian hasil penyelidikan Sains Forensik dalam membantu pencegahan jenayah di Malaysia.

IMG 20240515 WA0032

“Saya juga berharap agar kerjasama ini sentiasa berterusan dan mengalu-alukan kerjasama lain bersama pihak PDRM pada masa akan datang.

“Pihak PDRM boleh lihat dengan lebih mendalam untuk berkolaborasi dengan pusat pengajian lain di USM yang turut menawarkan pelbagai program dan penyelidikan,” jelasnya.

IMG 20240515 WA0030

Turut hadir dalam program ini ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Senior Asisten Komisoner Dato’ Mohd Nor Yhazid Idris; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, Asisten Komisioner Dauglas Nyeging Taong; Dekan PPSK USM, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak; Pengerusi Program Sains Forensik, PPSK USM, Dr. Dzulkiflee Ismail dan Pengarah PPI Sains Forensik USM Bersama PDRM Kontinjen Kelantan, Dr. Geshina Ayu Mat Saat.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 487