USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 30 September 2022 – “Buku merupakan bahan yang terbaik dalam membantu perkembangan pemikiran kanak-kanak kerana apabila kanak-kanak mempunyai pemikiran yang sihat ia akan mempengaruhi kesihatan emosi serta sahsiah diri," ujar Pensyarah Program Patologi Pertuturan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Affizal Ahmad.
Menurut Affizal, sebelum kanak-kanak boleh menjadi pembaca yang baik, mereka perlu mempunyai kemahiran asas seperti pengetahuan abjad, kesedaran bunyi serta perbendaharaan kata yang betul.
"Kemahiran ini penting dalam membina asas kemahiran literasi iaitu asas kemahiran membaca di mana ianya membantu kanak-kanak dalam menjalani proses pembacaan iaitu kelancaran membaca dan memahami bacaan.
"Buku yang paling sesuai dan mudah didekati oleh mereka ialah buku cerita kanak-kanak," katanya ketika sesi temubual dalam rancangan Sembang Sihat di Kelantan FM, di sini.
Affizal berkata, cara paling awal dan mudah untuk mendapatkan kemahiran literasi adalah dengan mendengar cerita atau berkongsi membaca buku cerita.
"Kaedah membaca bersama ini membantu perkembangan pemikiran awal kanak-kanak dengan cara yang cepat.
"Dengan adanya aktiviti pembacaan bersama, satu kaedah yang paling efektif untuk meningkatkan perbendaharaan kata kanak-kanak adalah melalui penceritaan secara berdialog kerana melalui kaedah ini, kanak-kanak akan terlibat secara aktif dalam proses bercerita, menggalakkan mereka lebih banyak bercakap dan meluahkan pendapat serta perasaan," jelasnya lagi.
Tambah Affizal, semasa proses membaca berjalan, ibu bapa atau pembaca dewasa perlu memastikan kanak-kanak tersebut boleh memahami perkataan yang dibaca atau yang mereka dengari.
"Kaedah pembacaan bersama ini amat berkesan untuk kanak-kanak mempelajari cara sebutan perkataan yang betul.
"Bagi meningkatkan kelancaran membaca dalam kalangan kanak-kanak, ia melibatkan dua (2) proses asas iaitu penterjemahan simbol-simbol tulisan kepada perkataan yang boleh diucapkan dan difahami serta pembentukan konsep yang bermakna pada rangkaian perkataan yang dibaca," katanya.
Affizal berkata lagi, perkara yang perlu diberi perhatian ketika membeli buku untuk kanak-kanak ialah membawa mereka bersama ke kedai.
"Kanak-kanak harus diberi peluang untuk memilih sendiri buku cerita atau buku-buku lain yang mereka suka dan sebagai ibu bapa, kita juga harus memilih buku-buku yang mampu menarik minat dan perhatian kanak-kanak.
"Lazimnya, minat mereka boleh diperhatikan daripada segi pilihan judul, saiz, ilustrasi dan jenis tulisan sesebuah buku.
"Unsur terbaik dalam sesebuah buku cerita harus mengandungi tiga unsur utama iaitu gambar yang menarik, cerita yang menyeronokkan dan ilmu pengetahuan yang berguna kerana ketiga-tiga unsur ini boleh membantu membina dan meningkatkan perkembangan bahasa, emosi, serta sosial kanak-kanak," ulasnya lanjut.
Affizal turut menasihati ibu bapa agar sentiasa mengajak anak-anak untuk membaca buku bersama bagi membantu perkembangan bahasa kanak-kanak, mempelajari bunyi, dan memperkaya bahasa mereka.
Teks : Wan Salizawati Wan Ismail / Reka Grafik: Mohd Asrar Mohd Rokeman