ms fb   ms ig   ms yt   ms twt  ms tt  ms tele

A- A A+

CEREBRAL PALSI : APA PERLU ANDA TAHU


USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 Oktober 2022 – Cerebral Palsi (CP) adalah gangguan kepada keupayaan mengawal kedudukan dan pengaktifan badan disebabkan kerosakan pada otak yang sedang berkembang malah ia merupakan sejenis penyakit yang tidak bersifat progresif atau semakin memburuk. 

 
Pakar Perubatan Pemulihan, Jabatan Pediatrik, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Wan Mohd Aiman Wan Ab. Rahman berkata, CP terjadi kepada satu (1) hingga dua (2) daripada 1,000 orang bayi tetapi insidennya lebih 10 kali boleh berlaku melibatkan bayi pramatang serta bayi yang kurang berat badan sewaktu lahir. 
 
SAVE 20221016 180834
 
“CP juga biasanya disebabkan oleh kecederaan otak yang terjadi sewaktu bayi masih dalam kandungan atau semasa proses bersalin malah ada juga yang terjadi selepas bayi baru lahir dan kepada kanak-kanak berumur kurang dari lima (5) tahun sewaktu otak mereka sedang berkembang tetapi kebanyakan penyebabnya tidak diketahui. 
 
“Dalam kajian yang dijalankan, 10 hingga 15 peratus (%) CP terjadi akibat cedera sewaktu kelahiran dan juga disebabkan kekurangan aliran darah ke otak sebelum, semasa dan selepas bayi dilahirkan,” katanya ketika temubual di Radio Kelantan FM. 
 
Tambah Wan Mohd Aiman, bayi pramatang berisiko tinggi mendapat CP kerana saluran darah ke otak masih belum berkembang secara sempurna dan mudah mengalami perdarahan atau kerana tidak dapat mengalirkan oksigen yang mencukupi ke otak. 
 
“Kecederaan kepada otak juga boleh disebabkan oleh kadar bilirubin yang tinggi di dalam darah yang sering ditemui pada bayi baru lahir dan juga boleh menyebabkan ‘kernikterus’ di bahagian otak. 
 
“Penyakit serius akan berlaku pada tahun pertama kehidupan bayi antaranya jangkitan pada tisu otak seperti ‘Ensefalitis’, ‘Meningitis’, jangkitan darah yang teruk, trauma dan dehidrasi yang teruk boleh mengakibatkan kecederaan pada otak bayi,” katanya lagi. 
 
Beliau berkata, tanda-tanda gejala CP ini boleh dikesan sebelum anak berumur dua (2) tahun dan bagi kes yang teruk, boleh dikesan seawal umur tiga (3) bulan serta gejalanya berbeza-beza, sama ada gejala ringan sehingga gejala yang teruk menyebabkan ketidakupayaaan kognitif (keupayaan minda) dan boleh menyebabkan kanak-kanak tersebut terlantar atau memerlukan kerusi roda untuk bergerak. 
 
“Tanda-tanda awal CP adalah kelewatan dalam perkembangan awal kanak-kanak seperti tidak dapat mengangkat kepala pada umur tiga (3) bulan, tidak mampu duduk sendiri pada umur sembilan (9) bulan dan mempunyai refleks primitif yang kekal melewati umur yang sepatutnya hilang malah tanda-tanda lain adalah postur atau posisi tubuh badan yang luar biasa seperti ketegangan otot, badan membengkok ke belakang dan anggota kaki menyilang antara satu sama lain. 
 
“Penyakit CP adalah penyakit yang tidak dapat disembuhkan, tetapi pemulihan fungsi masih dapat dilakukan agar kanak-kanak tersebut boleh berdikari dan rawatan yang dijalankan bergantung kepada gejala CP antaranya rawatan fisioterapi, memakai cermin mata, memakai alat bantuan pendengaran dan latihan pertuturan,” jelasnya. 
 
Menurut Wan Mohd Aiman, jika gangguan fizikal minimal dan kecerdasan minda normal, kanak-kanak CP akan membesar secara normal dan mampu untuk ke sekolah aliran perdana. 
 
"Namun, bagi kanak-kanak yang mengalami otot memendek sehingga menyebabkan kedudukan sendi terganggu, pembedahan memanjangkan otot akan dilakukan bagi meningkatkan fungsi kanak-kanak tersebut," ulasnya lanjut. 
 
Teks : Muhd Zulkifli Zakaria /Reka Grafik : Ahmad Fansuri Salleh

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 04 Jun 2023.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.