ms fb   ms ig   ms yt   ms twt  ms tt  ms tele

A- A A+

PUSAT TRANSFORMASI OKU USM-MAIK PLATFORM PEMERKASAAN GOLONGAN ISTIMEWA


USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Februari 2023 – Permasalahan orang kelainan upaya (OKU) merupakan satu isu yang kompleks kerana ia adalah masalah kehidupan. 

 
Setiap kategori OKU mempunyai permasalahan yang berbeza dan keperluan mereka juga berubah mengikut tahap umur.  Contohnya, keperluan OKU strok adalah berbeza dengan OKU lumpuh. Begitu juga, keperluan OKU kanak-kanak adalah berbeza dengan keperluan OKU dewasa.
 
IMG 20230201 WA0001
 
Menurut Ketua Pusat Transformasi OKU, Universiti Sains Malaysia (USM) - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) (PTOKU, USM-MAIK), Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim, apabila seseorang kanak-kanak dilahirkan cacat, semasa mereka berumur antara kosong (0) hingga dua (2) tahun, keperluan mereka adalah rangsangan perkembangan agar mereka boleh berkembang mengikut tahap umur seperti perkembangan bercakap, berjalan, merangkak dan sebagainya.
 
“Bagi kanak-kanak yang berumur dua (2) hingga lima (5) tahun pula, keperluan perkembangan mereka adalah memberikan tumpuan kepada kemahiran kehidupan iaitu kebolehan untuk berdikari seperti kebolehan memakai pakaian, makan dan aktiviti tandas. 
 
“Untuk kanak-kanak berumur lima (5) hingga tujuh (7) tahun, keperluan mereka adalah membina kemahiran bagi menempuh alam persekolahan seperti kemampuan menulis dan begitulah untuk setiap tahap kehidupan seterusnya, iaitu persekolahan dan pekerjaan.  
 
“Semua permasalahan tersebut perlu dikenal pasti dan diberi penyelesaian bagi membolehkan mereka berdikari dalam kehidupan,” katanya ketika ditemubual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM, di sini.
 
Mohd Zulkifli yang juga Pengerusi Bersama Kluster OKU, USM, berkata, program yang dijalankan oleh PTOKU USM-MAIK melibatkan program-program untuk transformasi OKU dan pemerkasaan OKU seperti menyediakan perkhidmatan bagi latihan pekerjaan OKU, Program Modifikasi Khas Kerusi Roda, Pusat Latihan Pertanian OKU Pusat, perkhidmatan taska termasuk Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK).
 
“Program Transformasi OKU ini merupakan salah satu usaha USM bagi menukar status OKU dari liabiliti kepada produktiviti iaitu dengan menjadikan OKU ini sebagai sumber manusia yang dapat memberi sumbangan kepada hasil negara. 
 
“Selain itu, ia juga dapat membantu golongan OKU hidup berdikari walaupun mereka tidak sempurna seperti orang lain dan PTOKU USM - MAIK memainkan peranan menukar status OKU daripada 'zero to hero',” ujarnya lagi.
 
Tambah Mohd Zulkifli, USM amat berterima kasih kepada MAIK atas sumbangan dana bagi membina PTOKU USM-MAIK yang merupakan pusat pertama ditubuhkan di Malaysia bagi menjalankan program-program pemerkasaan OKU.
 
“PTOKU USM-MAIK ini juga menghubungkan pesakit dalam kalangan OKU kepada perkhidmatan lain yang di perlukan, contohnya menghubungkan pesakit kepada kepakaran perubatan untuk mendapatkan pengesahan perubatan bagi tujuan pendaftaran kad OKU. 
 
"PTOKU USM-MAIK turut menyediakan perkhidmatan runding cara daripada Pakar Terapi Carakerja untuk membuat penilaian kepada OKU yang memerlukan kerusi roda bagi menentukan jenis kerusi roda yang terbaik dan bersesuaian dengan keperluan serta keadaan pesakit," jelasnya.
 
Mohd Zulkifli berkata, PTOKU USM- MAIK juga berfungsi sebagai pusat sehenti kepada perkhidmatan OKU iaitu menghubungkan OKU kepada agensi-agensi kerajaan yang berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Kelantan, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) selain menjadi penghubung kepada 'Non-Governmental Organisation' (NGO) seperti Yayasan Orang Kurang Upaya (YOKUK), Persatuan Spinal Pantai Timur (PSPT) dan Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Negeri Kelantan (MPPOK),” ulasnya lagi.
 
“Kami juga sentiasa berusaha untuk mengubah stigma ibu bapa serta masyarakat yang mempunyai perasaan rendah diri dan beranggapan mempunyai anak OKU merupakan bebanan kepada mereka kerana anak-anak OKU juga mempunyai masa depan dan potensi untuk berjaya serta mendapat pekerjaan.
 
“Dengan sokongan, bimbingan dan persiapan yang betul, ibu bapa pasti boleh membantu golongan ini untuk mendapat pekerjaan sekaligus dapat menyumbang kepada penyelesaian masalah yang dihadapi oleh ibu bapa,” jelasnya lanjut.
 
Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan PTOKU USM-MAIK, sila hubungi talian 09-767 7772 atau menerusi emel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. dan laman sesawang www.transformasioku.kk.usm.my.
 
Teks: Wan Salizawati Wan Ismail / Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 01 Jun 2023.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.