USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 17 Mac 2023 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui
Bahagian Pengurusan Akademik, Jabatan Pendaftar dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah menganjurkan Program GEAR UP! 2023 (Get Ready for University Programme) yang mensasarkan 120 orang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 dari kalangan B40.

Program yang akan berlangsung selama tiga (3) hari bermula hari ini telah dirasmikan oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin.

Fokus utama program ini adalah untuk meningkatkan nilai kepimpinan dan keyakinan diri serta kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris sebagai persediaan ke alam pengajian tinggi selain memberi pendedahan mengenai kehidupan sebagai pelajar universiti yang bakal dilalui selepas tamat persekolahan.

Ini akan menjadi titik tolak kepada mereka untuk menyelami sendiri cara hidup sebagai warga kampus sekaligus meningkatkan keyakinan diri dalam menempuh alam kerjaya nanti.

Turut hadir semasa majlis perasmian ialah Timbalan Pengarah MARA Negeri Kelantan, Mohd Norwawi Ibrahim; Ketua Penolong Pendaftar, Jabatan Pendaftar, Kampus Kesihatan USM, Noordini Ghazali dan Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM merangkap Ketua Fasilitator Program 'GEAR UP!' 2023, Dr. Syed Mohamed Syed Abdullah.