ms fb   ms ig   ms yt   ms twt  ms tt  ms tele

A- A A+

PROJEK PAYUNG 2023 KOLABORASI KESIHATAN KESAN AWAL KANSER PAYUDARA


KOTA BHARU, KELANTAN, 6 Mac 2023 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Unit Penyelidikan dan Kesedaran Kanser Payudara (BestARi) komited untuk terus membantu sesiapa sahaja yang memerlukan kepakaran USM dalam pengesanan awal penyakit payudara. 
 
IMG 20230306 WA0014
 
Kanser payudara yang dikesan awal mempunyai peratusan tinggi untuk sembuh dan boleh menurunkan kadar kematian akibat penyakit ini. 
 
Terbaharu, Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan RM250,000 untuk program Saringan Kesejahteraan Payudara Wanita Kelantan (PAYUNG 2023) melalui kerjasama erat dengan BestARi, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan Dhia Camelia Holdings Sdn. Bhd. yang dijangka memberi impak kepada seluruh wanita Kelantan.
 
IMG 20230306 WA0015
 
Menurut Timbalan Dekan (Libatsama Industri-Komuniti dan Pembangunan), Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM, Profesor Dr. Wan Hazzabah Wan Hitam yang mewakili Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, program kesedaran dan saringan kesejahteraan payudara yang dipelopori oleh BestARi USM telah menarik minat Kerajaan Negeri Kelantan kerana ia selari dengan agenda kesejahteraan wanita Kelantan dalam konteks pengesanan awal penyakit. 
 
“Justeru, kerjasama yang akan dijalankan sepanjang tahun 2023 ini sekaligus merupakan projek rintis kepada saringan payudara secara besar-besaran di Malaysia. 
 
IMG 20230306 WA0012
 
IMG 20230306 WA0011
 
“Semua pesakit yang mempunyai masalah berkaitan payudara boleh terus mendapatkan rawatan di BestARi Hospital USM tanpa perlu membuat temu janji,” ujarnya ketika berucap dalam Majlis Perasmian PAYUNG 2023 di Kompleks Kota Darulnaim, semalam.
 
Selaku unit yang bertanggungjawab menyediakan modul latihan untuk program PAYUNG 2023, BestARI yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Juhara Haron telah menganjurkan bengkel ‘Training of Trainer 1.0 & 2.0’ yang disertai oleh Pakar dan Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seluruh Negeri Kelantan dan staf USM bertujuan melatih pasukan saringan untuk melakukan saringan kesihatan payudara di setiap daerah.
 IMG 20230306 WA0016
 
Selain itu, dalam majlis yang sama turut berlangsung penyerahan geran penyelidikan berjumlah RM55,000 kepada lima (5) penyelidik USM menerusi lima (5) projek yang tepilih berkaitan payudara. Penyelidik yang terlibat ialah Profesor Madya Dr. Nik Rosmawati Nik Husin (Pakar Perubatan Masyarakat), Dr. Rosnani Zakaria (Pakar Perubatan Keluarga), Dr. Bazli Md Yusoff (Pakar Radiologi), Dr. Noorazliyana Shafii (Pakar Patologi Kimia) dan Dr. Ahmad Shahril Ab. Halim (Pakar Psikiatrik).
 IMG 20230306 WA0013
 
Majlis tersebut juga diisi dengan sesi pengenalan Projek PAYUNG 2023 yang telah disampaikan oleh Pensyarah Kanan USM merangkap Pengerusi PAYUNG, Dr. Tengku Ahmad Damitri Al-Astani Tengku Din dan ceramah pengenalan modul kesejahteraan payudara bertajuk ‘Menggapai Nikmat Sihat’ oleh Pakar Patologi Kanser Payudara USM, Profesor Madya Dr. Wan Faiziah Wan Abdul Rahman.
 
IMG 20230306 WA0010
 
Majlis Perasmian PAYUNG 2023 telah disempurnakan oleh Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, Dato’ Mumtaz Md Nawi. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah dan Pengarah Hospital USM, Dato' Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman.  
 
Teks & Foto: Syairah Rani & Profesor Madya Dr. Wan Faiziah Wan Abdul Rahman

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 31 Mei 2023.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.