ms fb   ms ig   ms yt   ms twt  ms tt  ms tele

A- A A+

MKI BUKAN SEKADAR HIBURAN, TURUT PERKENAL KEBUDAYAAN DAN SEJARAH KAUM INDIA


MKI 2023 4

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 6 Mei 2023 – Malam Kebudayaan India (MKI) 2023, Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kesihatan menjadi platform terbaik untuk mengeratkan hubungan pelbagai kaum dengan menyajikan persembahan kebudayaan yang menarik, kreatif, artistik dan menghiburkan untuk semua lapisan masyarakat.

MKI 2023 3

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin ketika berucap merasmikan program tersebut berkata, MKI merupakan saluran tepat untuk menelusuri perjalanan menarik di samping meneroka budaya dan warisan kaum India melalui pelbagai persembahan menghiburkan seperti tarian dan drama.

“Dalam negara berbilang kaum dengan kepercayaan dan kepelbagaian agama, banyak perayaan disambut ditambah dengan budaya dan makanan yang enak.

“Saya percaya program sebegini mampu mempamerkan budaya masyarakat India pada tahap terbaik di mana masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang dari seluruh negeri Kelantan khususnya berkumpul untuk membentuk ikatan yang lebih kukuh dan perpaduan yang harmoni sambil mempelajari dan memahami budaya masing-masing dalam perspektif baharu,” katanya.

MKI 2023 6

Menurut Shaharum, USM amat menyokong dan menggalakkan program seperti ini sebagai usaha menyemai perpaduan dalam kalangan pelajar kerana ianya penting untuk melahirkan graduan yang cemerlang dalam akademik dan memiliki pelbagai kemahiran insaniah agar mereka dapat terus hidup di dunia nyata.

“USM juga amat mengalu-alukan program seperti ini termasuk penganjuran festival kebudayaan bagi memelihara dan memartabatkan kesenian budaya tempatan.

MKI 2023 5

“Malam ini, mahasiswa mahasiswi Kampus Kesihatan yang memiliki bakat terpendam akan membuktikan kepada kita bahawa mereka bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah mereka juga boleh menari tarian kebudayaan mereka dan berlakon.

MKI 2023 8

“Ini benar-benar pelajar holistik dari segi pengetahuan dan bakat serta ianya selari dengan agenda HEBAT (Holistik, Minda Keusahawanan, Keseimbangan, Artikulasi, Pemikir) yang diterapkan dalam diri semua pelajar USM” ujarnya lagi.

Tambah Shaharum, kejayaan penganjuran program ini merupakan titik tolak kepada mahasiswa dalam membina sahsiah diri yang lebih cemerlang dengan ciri-ciri daya tahan, daya juang dan daya saing yang tinggi bagi memastikan mereka kelak menjadi seorang graduan yang holistik selaras dengan visi USM untuk ‘Mentransformasikan Pendidikan Tinggi Untuk Kelestarian Hari Esok’.

MKI 2023 7

“Penganjuran MKI juga diharap dapat mewujudkan kesedaran tentang kepentingan menghormati dan memahami budaya lain di Malaysia sekaligus membuka jalan untuk keharmonian dalam perpaduan antara kaum,” jelasnya.

MKI 2023 1

Festival gilang-gemilang bertemakan 'Samsara' iaitu kitaran kehidupan ini dipenuhi cahaya lampu serta hiasan berwarna-warni sinonim dengan budaya masyarakat India diserikan dengan persembahan tarian, nyanyian, drama, komedi serta cabutan bertuah.

 Kira-kira 1,400 orang hadir memeriahkan program ini terdiri daripada warga Kampus Kesihatan USM, pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK), masyarakat india seluruh Kelantan dan komuniti sekitar.

MKI 2023 2

Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), Profesor Madya Dr. Aziah Ismail; Timbalan Dekan (Libatsama Industri – Komuniti dan Pembangunan), Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM, Profesor Dr. Wan Hazabbah Wan Hitam, Penasihat Program MKI 2023, Profesor Madya Dr. T.P Kannan serta Pengarah Program MKI 2023, Naveen Paramasivam.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

Hubungi Kami

Pusat Media Dan Perhubungan Awam
Kampus Kesihatan,
Universiti Sains Malaysia,
16150 Kubang Kerian
Kota Bharu, Kelantan
 
Tel. : +609-7673000
Faks : +609-7671060

Pautan Kerajaan

 
 

Penafian

Universiti Sains Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.

Keselamatan Dan Dasar Privasi

  • Kemaskini: 01 Jun 2023.

 

© 2019 Pusat Media Dan Perhubungan Awam. Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan. Hak Cipta Terpelihara.