Skip to main content

Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan

'BERJALAN KE DALAM KUBUR' METAFORA UNTUK KEKAL SIHAT KE AKHIR HAYAT

 USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 24 April 2024 – Sejarah perjalanan semula jadi hidup seorang insan adalah berbeza-beza. Ada yang dipermudahkan kehidupannya tanpa mengharungi dugaan dan cabaran besar sejak dari dalam kandungan ibu sehingga ke saat menghembuskan nafas yang terakhir dan ada juga yang terpaksa melalui kegetiran di setiap peringkat kehidupan menyebabkan sebahagiannya tewas dan tidak mampu untuk meneruskan kehidupan yang berkualiti sehingga ke akhir hayat.

WhatsApp Image 2024 04 24 at 16.48.49

‘Berjalan ke dalam kubur’ adalah satu metafora yang merujuk kepada keinginan atau penghasilan keutuhan diri bagi seseorang individu itu walaupun telah melepasi jangka hayat untuk sentiasa sihat, cergas, aktif dan mampu melaksanakan semua fungsi rutin dan beribadah tanpa kebergantungan kepada sokongan orang lain sehingga ke hembusan nafas yang terakhir atau dengan kata lain penuaan yang sihat dan cergas.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Mohamed Rusli Abdullah berkata, kemajuan perkhidmatan kesihatan, peningkatan kualiti hidup dan penambaikan persekitaran telah meningkatkan jangka hayat penduduk Malaysia kepada sekitar 72 tahun bagi lelaki dan 76 tahun bagi wanita.

“Peningkatan usia secara amnya diikuti oleh banyak perubahan fisiologi, peningkatan bebanan penyakit kronik, kehilangan atau pengurangan fungsi tubuh dan kehilangan keupayaan fizikal.

“Dari sudut perubatan, jangka hayat dipengaruhi oleh genetik ataupun keturunan, gaya hidup, pendedahan kepada toksin, bahan berbahaya bakteria dan virus, penjagaan kesihatan dan rawatan yang optimum.

“Survei Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan secara konsisten menunjukkan bahawa berdasarkan peratusan mengikut kumpulan umur, warga tua atau warga emas yang berumur 60 tahun ke atas adalah paling tinggi mengunjungi dan mendapatkan perkhidmatan kesihatan serta rawatan sama ada sebagai pesakit luar atau kemasukan hospital,” jelasnya semasa sesi perkongsian ilmu dengan tajuk ‘Berjalan ke dalam Kubur’ yang berlangsung di Dewan Utama, Kampus Kesihatan, hari ini.

WhatsApp Image 2024 04 24 at 16.48.50

Mohamed Rusli yang juga Pengerusi Kluster Perubatan dan Kesihatan Akademi Profesor Malaysia berkata, golongan ini terutamanya yang berumur 75 tahun ke atas adalah yang paling tidak aktif.

“Hampir kesemua mereka didapati mengalami salah satu atau kombinasi penyakit somatik dan kronik seperti penyakit kardiovaskular, hipertensi, kegagalan fungsi buah pinggang, kanser, penyakit metabolik (termasuk diabetes mellitus) dan osteoporosis.

“Walaupun ramai yang beranggapan dan menjadikan genetik sebagai alasan untuk penuaan yang tidak sihat, kajian menunjukkan bahawa pengaruh genetik dan keturunan tidak melebihi 25 peratus (%).

“Pengaruh yang paling besar dalam menentukan penuaan yang sihat dan cergas adalah gaya hidup. Kita yang akan menentukan berapa lama kita dapat kekal ‘tua-muda’, ‘tua’ ataupun ‘tua-tua,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, selain daripada rawatan perubatan dan rehabilitasi penyakit, program untuk memulih, mengekal dan mengoptimakan kecergasan perlu dijalankan bagi mengatasi kesukaran pergerakan, mengurangkan ketidakupayaan dalam aktiviti kehidupan seharian (DADAL), mengelakkan kecederaan akibat terjatuh, melambatkan proses kerapuhan fizikal dan mengoptimakan kemampuan psikologi dan kognitif.

WhatsApp Image 2024 04 24 at 16.48.50 1

“Program yang perlu diterapkan mestilah merangkumi kawalan dan rawatan optima penyakit somatik dan kronik, kesihatan psikologi dan kognitif, kesihatan sosial dan persekitaran, mengawal dan menghentikan pengambilan bahan-bahan yang memudaratkan seperti alkohol, rokok atau ‘vape’, program nutrisi dan diet dan yang paling utama kecergasan dan kekuatan untuk mengurangkan risiko sarkopenia.

“Moto badan sihat minda cergas bukan hanya untuk golongan remaja dan dewasa tetapi perlu diteruskan sehingga lanjut usia,” ulasnya.

WhatsApp Image 2024 04 24 at 16.48.49 1

Mohamed Rusli turut menjelaskan bahawa bukan sahaja kematian yang diharapkan di dalam keadaan baik dan diredhai oleh-Nya, bahkan sekiranya kematian itu adalah sebahagian daripada kehidupan, kita seharusnya mampu berjalan ke dalam kubur masing-masing.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Hits: 207