Skip to main content

Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan

FOKUS PEJUANGKAN GOLONGAN OKU, PTOKU USM-MAIK BANTU SEDIAKAN KERUSI RODA KHAS KEPADA ASNAF TERPILIH

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Mac 2024 – Kesungguhan Pusat Transformasi Orang Kurang Upaya, Universiti Sains Malaysia – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (PTOKU USM-MAIK) melalui agenda ‘Accelerated Program for Excellence’ (APEX) dalam memperjuangkan nasib golongan orang kelainan upaya (OKU) di negeri Kelantan direalisasikan melalui Program Penilaian Kerusi Roda OKU Asnaf Kelantan yang berlangsung di Kampus Kesihatan USM, hari ini.

IMG 20240305 WA0044

Program dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kelantan, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPNK), Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK), Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kerajaan Negeri Kelantan (UKEKWA) serta pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Spinal Pantai Timur (PSPT) dan Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Negeri Kelantan (MPPOK) berjaya mengenal pasti 100 orang golongan OKU dari 10 jajahan seluruh Kelantan yang layak menerima bantuan kerusi roda melalui inisiatif program ini.

IMG 20240305 WA0047

Menurut Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail, PTOKU USM-MAIK adalah ‘pejuang OKU’ yang sentiasa aktif menjalankan pelbagai program pemerkasaan OKU dalam melunaskan peranan USM dengan membuat transformasi yang lestari kepada golongan terkebawah sejak tahun 2012.

“Pada hari ini, sesi penilaian terhadap kira-kira 60 orang OKU asnaf yang dikenal pasti dari jajahan Kota Bharu, Tumpat, Pasir Puteh, Pasir Mas dan Bachok akan dijalankan untuk mengubahsuai kerusi roda yang bersesuaian dengan mereka.

IMG 20240305 WA0043

“InsyaAllah, OKU asnaf dari lima (5) jajahan lain juga akan menerima manfaat yang sama selepas ini secara berperingkat,” katanya.

Shaiful Bahari berkata, kehadiran semua penerima kerusi roda pada hari ini sangat penting dalam memastikan pakar Terapi Carakerja (Occupational Therapist) dari PTOKU USM-MAIK dapat membuat penilaian jenis dan saiz kerusi roda yang sesuai.

IMG 20240305 WA0045

“Setiap penerima akan mendapat kerusi roda yang diubah suai berdasarkan spesfikasi seperti jenis kecacatan yang dialami, saiz badan, keperluan dan kegunaan kerusi roda, persekitaran rumah atau tempat kerja, pengangkutan untuk membawa kerusi roda dan pilihan sumber yang ada contohnya mempunyai penjaga atau tidak dan lain-lain.

“PTOKU USM-MAIK bukan sahaja memberi bantuan kerusi roda, malah turut memberi latihan cara penggunaan yang betul dan menyediakan perkhidmatan baik pulih kerusi roda” jelasnya lagi.

IMG 20240305 WA0049

Sementara itu, salah seorang penerima kerusi roda dari Pasir Mas, Noreha Jaafar, 46, melahirkan rasa syukur atas pemberian tersebut.

“Sebelum ini pergerakan saya agak terbatas dan terpaksa menggunakan kerusi atau tongkat sebagai alat sokongan ketika di rumah.

“Dengan adanya kerusi roda yang dikhaskan ini, saya yakin ia dapat memudahkan pergerakan saya melakukan aktiviti di dalam dan di luar rumah dengan lebih mudah,” ujarnya.

IMG 20240305 WA0048

Manakala Azmira Mohd Nor, 30, pula merakamkan berbanyak terima kasih kepada USM khususnya PTOKU USM- MAIK atas sumbangan kerusi roda kepada anaknya Muhamad Iman Haafiz, 6, yang mengalami lumpuh seluruh badan.

“Sebelum ini saya terpaksa mendukung anak saya ke mana sahaja kerana tiada kerusi roda yang sesuai dengan postur badan anak saya yang tidak boleh membengkok.

IMG 20240305 WA0046

“Kerusi roda yang diubah suai khas ini tentunya akan memberi perubahan positif kerana dapat membantu saya menggerakkan anak saya dengan lebih mudah,” katanya.

Program Penilaian Kerusi Roda OKU Asnaf Kelantan bukan sahaja bertujuan membantu golongan OKU tetapi juga memberi kesedaran kepada semua bahawa kebanyakan kerusi roda jenis ‘standard’ di pasaran hanya sesuai digunakan untuk transportasi sementara dan tidak sesuai digunakan oleh golongan OKU kerana setiap daripada mereka mempunyai masalah yang berbeza.

Turut hadir ialah Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti), Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dr. Hamid Jan Jan Mohamed dan Pengerusi Program Penilaian Kerusi Roda OKU Asnaf Kelantan, Dr. Zulkifli Abdul Rahim.

Teks: Wan Nor Azlin Wan Azlan/ Foto: Unit Fotografi UKAST

  • Hits: 463