GHEF 2023 BINCANG ISU PEMULIHAN EKUITI-PENDIDIKAN TINGGI DALAM ERA PASCA PANDEMIK
SEPANG, SELANGOR, 15 November 2023 - Pendidikan merupakan salah satu cabang sosial yang penting dalam melahirkan masyarakat yang cemerlang namun wabak COVID-19 telah menjejaskan institusi pendidikan secara keseluruhannya.
Mengambil kira kesan pandemik terhadap ekosistem pendidikan tinggi nasional dan global yang telah mewujudkan jurang akses, sumber dan peluang pembelajaran, '8th Global Higher Education Forum' (GHEF) 2023 mengangkat tema Pemulihan Ekuiti–Pendidikan Tinggi dalam Era Pasca Pandemik bagi membincangkan isu-isu dan usaha memelihara kesaksamaan dalam sektor pendidikan tinggi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin ketika berucap merasmikan forum tersebut hari ini berkata, tema GHEF 2023 sangat bertepatan dengan tujuan mengumpul semua pihak berkepentingan seperti ahli akademik, pelajar, agensi kerajaan, penggubal dasar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan industri untuk berbincang secara menyeluruh tentang isu dan trend global yang berkait dengan pemulihan ekuiti dalam sistem pendidikan tinggi pasca pandemik.
"Pandemik global telah memberi kesan ketara kepada semua aspek masyarakat termasuk sektor pendidikan tinggi kerana berjuta-juta pelajar di seluruh dunia terjejas semasa pandemik," ujarnya.
Menurut Mohamed Khaled, kesaksamaan dalam pendidikan perlu dilihat dari sudut keupayaan setiap pelajar untuk mencapai potensi mereka dengan mengambil kira latar belakang atau apa-apa cabaran lain yang dihadapi kerana golongan kurang bernasib baik paling terdedah dan menderita semasa krisis.
"Walaupun sistem pendidikan tinggi dapat menyesuaikan diri dengan cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini dalam pelbagai peringkat, wabak ini telah mendedahkan kelemahan sistem semasa kepada faktor luaran termasuk memastikan peluang pembelajaran yang saksama dan inklusif untuk semua pelajar.
"Peralihan ke arah pembelajaran jarak jauh atau secara dalam talian semasa pandemik memberikan cabaran yang ketara terutama bagi pelajar yang kurang bernasib baik disebabkan oleh jurang digital," jelasnya lanjut.
Mohamed Khaled berkata, GHEF 2023 memberi tumpuan kepada empat (4) sub tema penting untuk membincang dan memahami keadaan semasa dan hala tuju masa depan pendidikan tinggi dalam era pasca pandemik iaitu jurang digital dan inklusiviti, bakat dan kebolehpasaran, kedudukan kewangan dan sosioekonomi serta pengajaran dan pembelajaran dasar dan amalan.
"Forum ini juga memberi ruang khusus kepada komuniti pendidikan tinggi bertemu dan berbincang pelan hala tuju untuk penggubal dasar, pengamal dan pihak berkepentingan dalam pendidikan tinggi mengharungi cabaran dan peluang yang kompleks dalam era pasca pandemik.
"Kementerian percaya bahawa melalui perbincangan pelbagai perspektif di peringkat institusi, kebangsaan, serantau dan antarabangsa, ia boleh membangunkan pendekatan baharu untuk pengajaran dan pembelajaran yang akan menyumbang kepada sistem pendidikan yang lebih berkesan dan saksama," ujarnya.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed pula berkata, transformasi yang tercetus daripada pandemik adalah peluang unik untuk pendidik dan penggubal dasar memikirkan semula sistem pendidikan dan membayangkan perkara yang penting, perlu dan wajar untuk generasi akan datang.
"Penganjuran GHEF 2023 menunjukkan komitmen USM untuk menyokong keterangkuman dan kepelbagaian dalam pendidikan tinggi untuk masa depan yang mampan," katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Haji Mohd Zahari Ismail dan Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti USM, Dato' Seri Dr. Awang Adek Hussin.
Teks: Siti Sri Mas Ismail / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 420