Skip to main content

Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan

HILAL RAMADAN: PENGARAH KAMPUS AJAK STAF AMBIL PELUANG TINGKATKAN AMALAN SEPANJANG BULAN RAMADAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Mac 2024 – Menjelang bulan Ramadan, warga Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) diseru untuk menggunakan peluang yang ada bagi meningkatkan amalan seperti bertadarus, bersedekah, berqiyamullail dan amatlah rugi sekiranya Ramadan yang mempunyai banyak kelebihan ini disia-siakan dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah.

IMG 20240305 WA0055

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail berkata, sempena kedatangan bulan Ramadan yang akan disambut beberapa hari lagi, marilah sama-sama kita menyertai pelbagai program dan aktiviti bermanfaat yang dirancang oleh Pusat Islam Kampus Kesihatan sepanjang bulan Ramadan.

“Antara aktiviti yang dirancang adalah Majlis Berbuka Puasa, Majlis Tadarus Al-Quran, Solat Tarawih, kuliah Ramadan sebelum zuhur dan banyak lagi.

“Marilah sama-sama kita bekerjasama, berganding bahu, mengambil peluang dan bahagian untuk melaksanakan serta menyertai pelbagai aktiviti yang dirancang ini agar ianya memberi nilai tambah kepada kualiti ibadah kita,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Hilal Ramadan Peringkat Kampus Kesihatan USM 1445H/2024, hari ini

IMG 20240305 WA0056

IMG 20240305 WA0057

Shaiful Bahari merakamkan ucapan terima kasih kepada Pusat Islam, Kampus Kesihatan kerana menjadi nadi kepada setiap program dan sentiasa memberi komitmen yang terbaik bagi memastikan setiap program berjalan dengan lancar.

“Terima kasih juga kepada Koperasi USM Kelantan Berhad, Majlis Jururawat Malaysia (MNA) Cawangan Hospital USM, Yayasan Raja Shamri dan Masjid Al-Amin Mukim Demit atas sumbangan bagi Tabung Ihya’ Ramadan serta kepada penyumbang-penyumbang yang lain tidak kira sumbangan dalam apa jua bentuk,” ujarnya.

IMG 20240305 WA0058

IMG 20240305 WA0053

Majlis tersebut turut diisi dengan ceramah agama, penyampaian hadiah bagi Pertandingan Video Pendek dan Poster Ramadan serta cabutan bertuah bagi staf yang membuat potongan gaji pembayaran zakat dan wakaf tunai.

IMG 20240305 WA0054

Turut hadir ialah Pegawai Agama Jajahan Kota Bharu, Ustaz Fadhli Sulaiman dan Timbalan Pengarah, Pusat Islam, Kampus Kesihatan, Ustazah Amira Abd. Sattar@Ismail.

Teks : Muhd Zulkifli Zakaria / Foto : Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Hits: 173