Skip to main content

Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan

LEPTOSPIROSIS: BONGKAR KEBENARAN FAKTA ELAK KELIRU KERANA MITOS

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 24 April 2024 – Leptospirosis atau lebih dikenali sebagai kencing tikus merupakan penyakit berjangkit yang sering berlaku di Malaysia dan penyakit zoonotik atau penyakit bawaan haiwan akibat jangkitan bakteria ‘spirochete’ iaitu spesies ‘leptospira interrogans’.

Selain tikus, haiwan-haiwan lain seperti tupai, tikus belanda, arnab dan ‘guinea pig’ turut menjadi punca penyakit ini. Bukan itu sahaja, haiwan lain seperti anjing, kucing, lembu dan babi juga boleh menjadi pembawa bakteria ini.

WhatsApp Image 2024 04 24 at 16.46.35 1

Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Aziah Daud, bakteria ini terdapat dalam air kencing haiwan yang terjangkiti dan manusia boleh dijangkiti apabila terdedah kepada air, makanan atau tanah lembab yang dicemari dengan air kencing haiwan yang mengandungi bakteria leptospira.

“Bakteria leptospira boleh memasuki tubuh manusia melalui luka atau kudis di kulit dan lapisan mukosa seperti selaput mata dan lapisan dalam mulut.

“Pesakit yang dijangkiti leptospirosis akan menunjukkan gejala seperti demam tinggi, sakit kepala, menggigil, sakit otot, cirit-birit, keletihan, sakit perut, muntah-muntah, demam kuning (jaundis) dan ruam di kulit,” katanya ketika menyampaikan syarahan sempena Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor yang berlangsung di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM, hari ini.

WhatsApp Image 2024 04 24 at 16.46.34 1

Tambah Aziah, semua gejala tersebut biasanya berlaku ketika fasa satu (1) jangkitan leptospirosis.

“Sekiranya ia tidak dirawat dengan cepat, pesakit akan mula menunjukkan gejala fasa dua (2) seperti kegagalan fungsi hati dan ginjal, meningitis, sindrom ‘weil’, ‘disseminated intravascular coagulopathy’ (DIC), kegagalan pelbagai fungsi organ, pendarahan paru-paru yang teruk dan sepsis,” ujarnya lagi.

Aziah berkata, rakyat Malaysia amat gemar meluangkan masa hujung minggu dengan aktiviti mandi-manda di kawasan sungai dan air terjun.

“Walaupun kita sedang berseronok dan bergembira bersama keluarga, pastikan kita sentiasa menjaga kesihatan diri daripada penyakit yang sering dikaitkan dengan aktiviti di sungai iaitu leptospirosis.

“Lebih baik mencegah daripada mengubati. Jika berhasrat untuk beriadah di kawasan sungai atau air terjun, sila ambil langkah berjaga-jaga seperti elakkan daripada melakukan aktiviti riadah di kawasan yang tercemar dengan sampah-sarap yang boleh menjadi sarang tikus, elakkan aktiviti rekreasi air semasa dan selepas hujan atau pada musim banjir, tutup luka dengan pembalut atau plaster yang kalis air bagi mengelakkan kuman memasuki tubuh melalui luka tersebut, elakkan daripada minum air sungai, mandi di kawasan yang airnya mengalir, mandi dengan air bersih dan sabun selepas melakukan aktiviti sungai serta dapatkan rawatan dengan segera jika mengalami gejala ringan,” jelasnya lanjut.

WhatsApp Image 2024 04 24 at 16.46.34

Aziah turut menjelaskan bahawa satu langkah bersepadu harus dilaksanakan untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan terutama di kawasan perkelahan.

“Daripada terus menerus menyalahkan tikus, masyarakat harus mempunyai sikap kesedaran alam sekitar yang tinggi dengan mengamalkan prinsip ‘Leave No Trace’ (LNT) yang sudah lama diperkenalkan.

“LNT adalah amalan konservasi alam berkonsepkan membawa keluar apa yang dibawa masuk daripada kawasan perkelahan. Tidak ada salahnya jika masyarakat mendisiplinkan diri dengan membawa sehelai plastik sampah setiap kali melawat kawasan perkelahan.

“Setelah selesai bersantai, masukkan sampah dan sisa makanan ke dalam plastik yang bersesuaian. Sekiranya tiada tong sampah awam, bawa pulang dan buang ke dalam tong sampah di rumah,” katanya.

WhatsApp Image 2024 04 24 at 16.46.35

Selain itu, Aziah turut berkongsi pendapat bahawa pendidikan berterusan mengenai kaedah pencegahan leptospirosis juga perlu diterapkan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Leptospirosis bukan hanya berasal daripada tikus tetapi juga daripada manusia. Langkah bersepadu dalam menangani isu ini harus menjadi tanggungjawab masyarakat dan semua pihak.

“Perubahan harus bermula daripada diri kita. Cintailah alam dan pastinya alam akan terus mendampingi kita,” ulasnya lagi.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Hits: 145