Skip to main content

Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan

MEMAHAMI DAN MERAMALKAN PENYAKIT: KUASA PEMODELAN DALAM KESIHATAN AWAM

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 24 April 2024- Kesihatan awam didefinisikan sebagai sains untuk melindungi dan memperbaiki kesihatan orang ramai dalam komuniti, masyarakat dan negara.

Tahap kesihatan sesebuah negara bergantung kuat dengan polisi dan aktiviti kesihatan awam yang menekankan pencegahan penyakit, promosi kesihatan, melindungi populasi yang lemah dan merapatkan jurang perbezaan status kesihatan antara pelbagai golongan.

Ahli kesihatan awam profesional seperti Pakar Perubatan Kesihatan Awam melakukan pelbagai usaha bagi merapatkan jurang perbezaan kesihatan ini dan berusaha mencegah masalah kesihatan melalui program pendidikan kesihatan, memperkenalkan polisi perubatan dan kesihatan, memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan serta melakukan penilaian dan kajian.

WhatsApp Image 2024 04 24 at 16.47.34 1

Menurut Pensyarah Kanan yang juga Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Kamarul Imran Musa, epidemiologi adalah sains asas dalam kesihatan awam kerana ia merupakan sains yang menghuraikan hubungan kesihatan atau penyakit dengan faktor yang menentukan kesihatan dan penyakit dalam populasi manusia.

"Selain itu, epidemiologi telah digunakan untuk menghasilkan sebahagian besar maklumat yang diperlukan oleh para profesional kesihatan awam.

"Sejarah alami penyakit atau dikenali sebagai ‘Natural History of Disease’ merujuk kepada aturan alami penyakit sejurus sebelum terjadinya penyakit, perebakan penyakit semasa fasa pra-simptomatik dan semasa tahap klinikal yang berbeza sehinggalah ke titik pengakhiran penyakit tersebut iaitu sama ada pesakit sembuh atau mengalami ketidakupayaan kronik ataupun meninggal tanpa sebarang intervensi luar.

"Justeru, memahami sejarah alami penyakit adalah penting bagi pemodel penyakit untuk memilih dan membentuk kajian bagi menilai impak penyakit kepada masyarakat dan negara serta impak selepas intervensi, polisi atau langkah kawalan dijalankan," katanya ketika menyampaikan syarahan dalam Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor, hari ini.

WhatsApp Image 2024 04 24 at 16.47.34

Tambah Kamarul Imran, pemodel penyakit juga meneliti trend penyakit dan corak perebakan penyakit di sepanjang spektrum sejarah alami penyakit dan cuba mengaitkan dengan faktor risiko individu, komuniti, perubahan ekonomi, polisi kesihatan dan persekitaran.

"Jika ada perkaitan, lebih mudah untuk kerajaan dan agensi berkenaan membina langkah-langkah pencegahan dan pengawalan penyakit serta promosi kesihatan yang bersasar, unik dan efektif dititik yang berbeza sepanjang spektrum sejarah alami penyakit," jelasnya.

Kamarul Imran yang juga Penyelaras Penyelidikan Kampus Kesihatan USM turut memaklumkan, pemodel penyakit kesihatan awam memberi perhatian terhadap penyakit termasuk wabak dan ketidakupayaan yang memberi kesan signifikan kepada masyarakat dan negara.

"Tujuan pemodelan penyakit ini adalah untuk mengenal pasti taburan penyakit dan faktor-faktor risiko (descriptive analytics), mengira perkaitan antara penyakit dan faktor-faktor risiko (diagnostic analytics), meramal tren dan beban penyakit serta prediktor (predictive analytics) dan mengira kesan intervensi ke atas perebakan dan tren penyakit serta faktor-faktor risikonya (prescriptive analytics)," ujarnya lagi.

Bapa kepada dua (2) cahaya mata ini turut menyatakan bahawa seseorang pemodel penyakit dalam kesihatan awam harus menguasai pengetahuan dan kemahiran tiga (3) bidang pemodelan iaitu model epidemiologi, model statistik dan matematik serta model kecerdasan buatan.

"Walaupun kelihatan berbeza, aktiviti dalam ketiga-tiga model ini boleh bertindan antara satu sama lain dan hampir setiap masa serta keseluruhan aktiviti dalam pemodelan penyakit memerlukan pemodel penyakit menguasai ketiga-tiga model ini," katanya.

WhatsApp Image 2024 04 24 at 16.47.35

Menurut Kamarul Imran lagi, pemodelan penyakit terkini dalam kesihatan awam melibatkan mencipta representasi epidemiologi, matematik, statistik dan algoritma komputer tentang bagaimana penyakit merebak dan berkembang dalam komuniti, masyarakat, negara dan merentasi sempadan negara.

"Antara cabaran dalam pemodelan penyakit yang telah dikenal pasti termasuk ketersediaan dan kualiti data, kompleksiti dinamika penyakit, ketidakpastian dan variabiliti, pengesahan (validasi) dan kalibrasi model, pertimbangan etika dan sosial serta keperluan kepakaran, sumber dan infrastruktur.

WhatsApp Image 2024 04 24 at 16.47.34 2

"Kerjasama antara ahli kesihatan awam profesional seperti Pakar Perubatan Kesihatan Awam, ahli epidemiologi, ahli matematik, ahli statistik, saintis komputer dan pembuat dasar diperlukan bagi membangunkan dan melaksanakan model penyakit yang berkesan tetapi mempunyai citarasa dan impak yang sesuai untuk masyarakat dan komuniti tertentu supaya maklumat, strategi dan tindakan kesihatan awam akan berkesan dengan sebanyak mungkin," ulasnya lanjut.

Teks: Siti Sri Mas Ismail/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Hits: 130