Skip to main content

Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan

PENGARAH HOSPITAL USM SERU WARGANYA BERSAMA MENYOKONG PEMANTAPAN AGENDA APEX UNIVERSITI

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Mac 2024 - “Sebagai salah satu Pusat Tanggungjawab (PTJ) penting di Universiti Sains Malaysia (USM), kita perlu bekerja selari dengan visi dan misi universiti iaitu ‘Mentransformasikan Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok’ dan ‘USM sebagai universiti perintis, berintensifkan penyelidikan rentas bidang yang memperkasakan bakat masa hadapan dan mengupayakan golongan terkebawah’,” demikian seruan Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman semasa menyampaikan amanatnya di Majlis Perutusan Pengarah Hospital USM Tahun 2024, hari ini.

IMG 20240305 WA0021

Menurut beliau, adalah menjadi tanggungjawab Hospital USM untuk mempraktikkan lima (5) teras budaya APEX iaitu pendekatan lautan biru, pemikiran inovatif, berimpak tinggi, mengutamakan golongan terkebawah dan berasaskan kelestarian.

“Setiap warga Hospital USM yang terlibat dalam menyediakan ruang penyelidikan, pengajaran dan pentadbiran perlu menjadi inovatif dan sentiasa mencari peluang yang baharu untuk menyelesaikan masalah dengan berkesan.

IMG 20240305 WA0023

"Apa jua perkara yang dijalankan adalah perlu berteraskan kelestarian dan mensasarkan kumpulan terkebawah (bottom billion),” ujarnya.

Nik Hisamuddin juga menyatakan beberapa pencapaian berjaya membuktikan Hospital USM telah, sedang dan akan bergerak selari dengan agenda APEX universiti iaitu antara lainnya merujuk kepada pencapaian dan penglibatan dalam Program Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Prihatin Madani, kerjasama bersama ‘Healing Little Heart Foundation United Kingdom’, Penganugerahan 'Enterprise Architecture Achievement Awards' 2022, Lawatan Penandaarasan Program 'Enterprise Architecture' Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke Hospital USM dan Projek Kelestarian 'Go Green'.

IMG 20240305 WA0025

"Walaupun pelbagai pencapaian telah dicapai, kita tidak boleh selesa dengan apa yang ada sekarang dan perlu terus bekerja kuat untuk menaikkan 'branding' Hospital USM," katanya lagi.

Tambah Nik Hisamuddin, Hospital USM mengalami cabaran berterusan dalam kelestarian kewangan, namun langkah awal untuk penjimatan dan menambah penjanaan daripada perkhidmatan berkaitan pesakit masih belum dapat menyelesaikan secara menyeluruh cabaran tersebut.

IMG 20240305 WA0022

“Peruntukan Geran Mengurus Tahun 2024 yang diberi kepada Hospital USM juga tidak mampu menampung perbelanjaan keseluruhan Hospital.

IMG 20240305 WA0027

“Justeru, kita terpaksa menggunakan sumber dalaman yang ada bagi menampung kelangsungan perkhidmatan,” jelasnya lagi.

Selain itu, Nik Hisamuddin turut menekankan kepentingan Perancangan Strategik Tahun 2024 di mana Hospital USM akan mempelopori penjanaan daripada sumber alternatif selain daripada perkhidmatan klinikal, perundingan 'Enterprise Architecture', keselamatan persekitaran penjagaan pesakit, pengurusan risiko dan pematuhan serta meningkatkan kesedaran aktiviti berkaitan wakaf dan zakat.

IMG 20240305 WA0026

Sementara itu, dalam majlis yang sama, Nik Hisamuddin turut melancarkan Buku Pengurusan Perkhidmatan Dobi Hospital USM dan menyampaikan sijil penghargaan kepada kakitangan dan staf yang telah mengharumkan nama Hospital USM.

IMG 20240305 WA0024

Majlis Perutusan Pengarah Hospital USM 2024 turut diserikan dengan kehadiran Pengurusan Tertinggi Hospital USM terdiri daripada Timbalan Pengarah (Klinikal) Profesor Dr. Zaidi Zakaria; Timbalan Pengarah (Operasi) Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset), Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud dan Timbalan Pendaftar Kanan Hospital USM, Haji Mohd Saberi Mohd Yusoff.

Teks: Siti Sri Mas Ismail/ Foto: Unit Fotografi UKAST

  • Hits: 292