Skip to main content

Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan

INTERVENSI ULTRASOUND: PROGRAM TINGKAT KECEKAPAN PEGAWAI PERUBATAN LAKUKAN UJIAN FNAC

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 April 2024 – Bagi melatih pakar patologi dan pegawai perubatan menggunakan pengimejan mesin ultrasound ketika prosedur ‘Fine Needle Aspiration Cytology’ (FNAC), Jabatan Patologi dengan kerjasama Jabatan Perubatan Kecemasan dan Jabatan Radiologi, Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Program Pengenalan Intervensi Ultrasound dalam Prosedur FNAC pada 25 Mac lalu.

IMG 20240403 WA0030

Program ini antara lain bertujuan untuk berkongsi ilmu dan pengetahuan dalam pengimejan ketulan (lesion) menggunakan mesin ultrasound, menambah kecekapan pakar patologi, pegawai perubatan dan pelajar Sarjana Patologi (MPath) dalam melakukan FNAC dengan bantuan alat ultrasound dan mengurangkan peratusan kes ‘unsatisfactory smear’ dalam pelaporan ujian FNAC.

IMG 20240403 WA0032

Prosedur FNAC ialah satu prosedur yang dilakukan menggunakan jarum halus untuk mengambil sedikit sel pada ketulan atau ketumbuhan superfisial. Prosedur ini dilakukan untuk mengenal pasti sama ada ia adalah ketumbuhan yang bahaya (kanser) ataupun sebaliknya.

IMG 20240403 WA0033

Prosedur ini lebih mesra pesakit berbanding prosedur pengambilan biopsi biasa kerana ia menggunakan jarum yang halus, tidak menyakitkan serta melibatkan kos yang rendah. Tempoh pengeluaran laporan ujian FNAC juga lebih cepat berbanding pengambilan biopsi. Tempoh pengeluaran laporan ujian bergantung kepada jenis ketumbuhan di mana sesetengah kes memerlukan ujian lanjutan.

IMG 20240403 WA0034

Perkhidmatan FNAC telah wujud di Hospital USM pada tahun 1986 sejak awal penubuhan Makmal Patologi dan pada ketika itu dijalankan di dalam makmal seterusnya di Klinik Surgeri (SOPD). Namun, bermula Julai 2023, secara rasminya perkhidmatan ini ditawarkan di Klinik FNAC sendiri. Perkhidmatan ini telah bertukar tempat dari Klinik SOPD ke Klinik FNAC atas keperluan MS ISO 15189:2014 bagi menjamin keselamatan, keselesaan pesakit dan memudahkan akses pesakit ke tempat prosedur.

IMG 20240403 WA0031

Hospital USM menerima kira-kira 400 permohonan yang memerlukan prosedur FNAC saban tahun. Permintaan permohonan semakin meningkat setiap tahun seiring dengan pertambahan kepakaran dan sub kepakaran yang wujud di hospital ini. Buat masa sekarang, bagi prosedur FNAC yang memerlukan alat bantuan imej seperti ‘ultrasound/ CT scan’, prosedur akan dilakukan di Jabatan Radiologi. Penyaringan ‘rapid-on-site-evaluation’ (ROSE) dilakukan bagi memastikan sampel yang diambil mencukupi untuk diagnosis dan ujian lanjutan.

Program yang dirasmikan oleh Pengarah Hospital USM, Dato' Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman ini turut memberi peluang peserta merasai pengalaman melakukan sendiri prosedur FNAC dengan bantuan mesin ultrasound.

Sumber Laporan & Foto: Profesor Madya Dr. Anani Aila Mat Zin

  • Hits: 97